Kenapa Perlu Belajar Matematik Tambahan?

Add Math. Fuhh pening!

Adik-adik yang ambil aliran sains sekarang mesti rasa menyesal, kenapa subjek ini wujud. Ada juga yang drop subjek itu untuk SPM nanti. Sebab subjek ini bukan kaleng-kaleng susahnya.

Jadi kenapa subjek ini wujud? Dan kenapa perlu belajar Add Math?

Sebenarnya, subjek ini merupakan asas kepada Matematik semasa di universiti. Sama ada selepas adik-adik melanjutkan pengajian ke asasi, matrikulasi ataupun diploma yang berkaitan dengan sains, semua ada kena mengena dengan Add Math di sekolah. Malahan beberapa jurusan sains di peringkat terbabit meletakkan syarat subjek Matematik lulus dan Add Math mendapat kredit.

Tapi saya taknak ambil sains lepas sekolah …

Yang tu tak menjadi masalah, boleh ketepikan Add Math masa sekolah. Tapi takkan nak biarkan result SPM nanti semua ada A B sekali ada satu G. Tak cantik result kalau dilihat kan.

Lagipun kalau adik-adik berjaya lulus Add Math dan dapat kredit pula, adik-adik dengan senang boleh memilih kursus di universiti. Mahu jadi doktor, Add Math penting. Jadi engineer, apalagi akauntan, semuanya ada Add Math. Nanti kalau family tanya ‘ambil course apa di universiti?’ dengan bangganya adik-adik boleh jawab ‘ambil engineering’. Fuhh bangga parents nanti.

Pelajar yang mengambil subjek Add Math ini dapat mendisiplinkan ilmu. Hah, apa itu? Kita semua tau yang subjek ini susah teramat susah. Oleh itu, cara mengatasi subjek ini dengan banyakkan buat latihan. Dengan banyak membuat latihan, ianya salah satu cara menambah wawasan mengenai ilmu kalkulus, algebra, pembezaan dan pengamiran, dan lain sebagainya. Semakin susah soalan, semakin bergerak otak untuk bekerja lebih kuat, maka semakin bijak minda adik-adik.

Pelik? Ya, tapi benar. Orang yang menghadapi masalah besar, sama ada mereka lari dari masalah itu, ataupun cuba melawan masalah itu sehingga berjaya diatasi. Add Math adalah masalah itu, sama ada adik-adik menyerah ataupun cuba membuat soalan latih tubi sebanyak mungkin.

Kesimpulannya, Add Math ini bukan saje-saje bagi adik-adik fail SPM, tetapi Add Math sebagai jambatan sama ada adik-adik cekal dalam meredah halangan di sekolah ataupun cepat menyerah. Jika berjaya, insyaAllah laluan menuju diploma semakin mudah. InsyaAllah

Set Masa untuk SPM Matematik, Bagaimana?

Hola semua. Di postingan sebelum ini saya dah cerita penyebab utama pelajar gagal dalam Matematik. Salah satunya adalah gagal memperuntuk masa. Apalagi kalau dapat soalan susah nak mati, baru sedar tinggi rendah langit kan adik-adik …

Jadi, saya nak kongsi bagaimana peruntukan masa untuk Kertas 1 dan Kertas 2 SPM nanti. Dan ini untuk SPM 2020 sahaja. Untuk batch akan datang (batch KSSM), nanti dulu. Mungkin akan ada perubahan.

Kertas 1

Untuk Kertas 1, ada 40 soalan multiple choice selama 75 minit. Tips dari saya, anggarkan 90-100 saat untuk tiap soalan. Lebih kurang tak sampai 2 minit la. Jika 1 soalan dah lebih dari 2 minit, terus pergi ke soalan seterusnya. Jangan biarkan diri stuck di soalan tersebut.

Jika 90-100 saat untuk 1 soalan, maka adik-adik akan menghabiskan lebih kurang 60-67 minit. Baki masa itu untuk adik-adik semak semua jawapan, mungkin ada soalan yang tertinggal atau ragu-ragu. Ingat, ini masih kertas 1 ye adik-adik, semua jawapan dah tersedia di setiap soalan.

Terkadang ada beberapa soalan yang boleh diselesaikan hanya dengan kalkulator (tanpa pengiraan manual), seperti topik Bentuk Piawai, Asas Nombor, Sudut Dongakan dan Tunduk (Standard Forms, Number Bases dan Angle of Elevation and Depression).

Kertas 2

Untuk Kertas 2, ada 16 soalan yang dipecah kepada 11 soalan di Bahagian A dan 5 soalan di Bahagian B. 11 soalan itu adalah dari topik Persamaan Linear Serentak, Bulatan, Geometri Pepejal, Persamaan Kuadratik, Penakulaan Matematik, Garis Lurus, Kebarangkalian, Garis dan Satah dalam 3 Dimensi, Matriks dan Kecerunan dan Luas di bawah Graf (Simultaneous Linear Equation, Circles, Solid Geometry, Quadratic Equation, Mathematical Reasoning, Straight Lines, Probability, Lines and Angles in 3-D, Matrices dan Gradient and Area under a Graph). Sementara 5 soalan di Bahagian B adalah dari Statistik, Graf Fungsi, Penjelmaan, Bumi sebagai Sfera dan Pelan dan Dongakan (Statistics, Graph of Functions, Transformations, Erath as a Sphere dan Plan and Elevation).

Fuhh banyak kan. Belum lagi masa yang diberi adalah 150 minit atau 2 jam 30 minit. Mana sempat nak jawab semua?

Haipp! Tunggu dulu adik-adik. 11 soalan di bahagian A adalah soalan-soalan pendek yang bernilai 3 hingga 6 markah, berjumlah 52 markah. Jadi adik-adik boleh set masa dalam 3-7 minit dalam 1 soalan. Tapi jangan pula soalan 3 markah tu adik-adik habiskan dalam 7 minit. Nanti macam mana pula soalan yang 5 atau 6 markah tu …

5 soalan di Bahagian B macam mana pula? Nah, untuk Bahagian B, adik-adik hanya perlu jawab 4 soalan sahaja. Bermakna, dari 5 topik yang ada, adik-adik dah boleh ‘buang’ topik yang paling susah. Mungkin Bumi sebagai Sfera atau Penjelmaan (Earth as a Sphere atau Transformations). Dan untuk 1 soalan, anggaran masa lebih kurang 15-25 soalan untuk Bahagian B ini.

Baki masa yang ada, boleh digunakan untuk menyemak jawapan. Mana tau ada mistake, yang darab jadi tambah.

Mungkin adik-adik tak dapat nak follow tips ini 100%, namun percayalah, dengan latihan masa ini nanti adik-adik jadi dah terbiasa untuk allocate masa untuk tiap soalan. Mulakan dengan sekarang, letak stopwatch atau timer di sebelah latihan soalan SPM. Semakin banyak adik-adik buat latihan dengan masa, semakin mahir adik-adik nanti dalam membahagi masa. Dan jika bermanfaat, boleh like, share dan subscribe kepada kawan-kawan di sekolah.

See ya!

Kenapa Gagal dalam Matematik?

Hola, bertemu kembali dalam Matematik Itu Mudah. Terkadang ada soalan dari adik-adik, kenapa masa buat latihan boleh jawab, tapi masa exam terus stuck. Terkadang tak cukup masa, atau lupa cara nak jawab.

Macam ni, sebelum masuk ke rumah, kita dah kenal pasti ada apa di rumah kita. Ada rak kasut di depan pintu, kemudian selepas masuk rumah ada sofa, kerusi, meja. Masuk ke bilik, ada tilam, bantal, almari. Nah seperti itu juga matematik. Sebelum masuk exam, kita dah tau apa je dalam Kertas 1 dan Kertas 2. Kertas 1 ada 40 soalan, Kertas 2 ada 11 soalan di Bahagian A dan 5 soalan di Bahagian B dan wajib jawab 4 soalan sahaja.

Jadi apa sahaja penyebab utama pelajar gagal dalam matematik, menurut pandangan pemerhatian saya?

Pelajar gagal untuk mencongak dan menghafal sifir

Ini penyebab utama bagi saya, di mana pelajar akan membazirkan masa dalam menjawab soalan. Sifir ini bukan setakat ini darab ini jadi itu, tapi penggunaannya juga. Contoh penggunaan dalam soalan mengenai faktor, atau permudahkan pecahan serta penggunaannya dalam Faktor Sepunya Terbesar (FSTB)/Highest Common Factor (HCF).

Bayangkan kalau exam, kemudian adik-adik kerap tekan kalkulator sepanjang soalan, sebenarnya masa itu boleh digunakan untuk mencongak atau soalan-soalan lain yang memerlukan pengiraan rumit.

(psstt, ada tips untuk kenalpasti nombor-nombor mana yang boleh dibahagi dengan 2, 3, 5 dan 9)

Pelajar tidak mengenalpasti bentuk geometri serta sifat asasnya

Terkadang pelajar gagal mengenalpasti apa bentuknya, apa beza segi empat sama dan segi empat tepat (square dan rectangle), segitiga sama kaki dan segitiga sama sisi (isosceles dan equilateral triangle), trapezium dan parallelogram. Begitu juga dengan objek 3 dimensi seperti prisma, silinder, piramid, kon dan sfera.

Dan jika pelajar gagal mengenalpasti, maka bagaimana pelajar menjawab soalan tanpa gambarajah? Silap melakar, pasti cara kerja juga salah dan jawapan akhir pun salah.

Pelajar tidak hafal rumus dan persamaan asas

Ala takyah risau, kan dibagi di depan soalan SPM nanti …

Mesti ramai yang akan berkata seperti itu. Tetapi apakah semua persamaan diberi? Jika diberi sekalipun, apakah pelajar mampu untuk mengenalpasti persamaan apa yang sesuai digunakan? Apalagi kalau isipadu prisma tegak (volume of right prism) menggunakan luas keratan rentas (area of uniform cross section), pelajar pula taktau apa luas keratan rentas itu.

Sayang sekali adik-adik, sebenarnya adik-adik memang tak perlu hafal 100% rumus dan persamaan itu. Namun adik-adik kena faham bagaimana menggunakan rumus dan persamaan yang diberi. Seperti main PUBG (ala korang kan suka main PUBG hehehe …), kalau taktau nak tembak lawan tu bagaimana nak chicken dinner?

Pelajar gagal memperuntuk masa dalam menjawab soalan

Sifir dah hafal. Bentuk geometri dah kenal. Persamaan dan rumus pun dah tau nak guna yang mana satu. Sekali masa exam, tak dapat jawab semua soalan (terutama Kertas 2, ye kan?) Yang ini pun jadi masalah besar, di mana pelajar tak cukup masa.

Nah sebenarnya, ramai pelajar yang taktau apa tips untuk menjawab exam dengan berkesan, iaitu peruntukan masa. Ada soalan yang membolehkan adik-adik menghabiskan masa tak sampai 3 minit, ada yang boleh pakai kalkulator untuk menyemak jawapan akhir, ada yang perlukan jalan kerja dan gambarajah untuk lebih faham soalan.

Ingat adik-adik, Kertas 1 ada 40 soalan dengan 1 jam 15 minit sahaja. Kertas 2 pula ada 16 soalan dengan 11 soalan di Bahagian A dan 5 soalan (jawab 4 soalan je) di Bahagian B selama 2 jam 30 minit. Pergunakan masa dengan berhemah, latih diri dari sekarang

(haa yang ini pun ada tips dari saya juga di sini)

Jadi ingat ye adik-adik, pelajar yang berjaya bukan bererti mereka bijak dan pandai secara zahiriah, namun mereka dapat mengenalpasti kelemahan mereka untuk bangkit semula. Dan jika bermanfaat, boleh like, share dan subscribe kepada kawan-kawan di sekolah.

See ya!

MATEMATIK? BENARKAH IANYA MUDAH?

Matematik itu mudah, namun ramai pelajar yang masih sangkut dalam menjawab soalan-soalan SPM. Sama ada mereka lupa cara-cara menyelesaikan, atau lupa formula dan persamaan. Lebih parah, ada yang sampai lupa apa itu nombor perdana dan sifir-sifir. Oh no …

Jadi benarkan matematik itu mudah?

Ya. Sangat mudah, seperti permainan. Namun bukan permainan seperti PUBG atau Mobile Legend itu.

Bagaimana caranya?

Kenalpasti cara ‘bermain’. Kalau nak main bola, kena tau sepak bola ke arah gol lawan, bukannya tangkap bola dengan tangan atau sepak bola ke gol sendiri. Kalau main badminton, kena ada raket dan pukul ke court lawan. Begitu juga dengan matematik. Bukan sekadar tau tambah tolak darab bahagi lepas tu main taram je semua.

Jadi, melalui penulisan saya inilah saya dapat berkongsi secebis ilmu mengenai matematik dan juga matematik tambahan kepada adik-adik (lepas ni saya panggil adik-adik kepada bakal calon SPM). Kalau ada ibubapa yang membaca penulisan saya ini, saya ucapkan selamat datang kepada tuan-puan, semoga anak tuan-puan berjaya dalam SPM terutamanya subjek matematik dan matematik tambahan.

Dan jika penulisan-penulisan saya bermanfaat, bolehlah untuk berkongsi kepada yang lain. Akhir sekali, semoga berjaya!

“Menjadi nombor satu di kelas bukanlah menjamin kejayaan, namun mereka yang mahu berusaha lebih keras akan memiliki kesempatan untuk berjaya”